Senaman ringan dalam kumpulan ini cukup terkenal dalam kelompok wanita di Malaysia. Lihat sahaja di mana-mana, pasti ada yang menyediakan kelas Zumba. Malah ada yang percaya dengan melakukan Zumba boleh menguruskan badan. Benarkah anggapan ini?
Menurut pengasas Zumba Beto Perez, sebenarnya tujuan Zumba dicipta bukanlah untuk menguruskan badan. Ia dicipta untuk mencari keseronokan sahaja.
Namun tidak dinafikan juga bahawa peserta yang melibatkan diri dalam seni tari itu juga berupaya untuk menurunkan berat badan mereka.
Ini kerana dengan melakukan Zumba dapat mengaktifkan endorphin iaitu hormon yang membuatkan kita rasa gembira. Berbanding melakukan senaman biasa yang agak bosan, dengan Zumba bukan sahaja dapat tubuh yang sihat tapi juga menyeronokkan.
Zumba tediri daripada empat teras utama iaitu salsa, merengue, cumbia dan reggaeton. Setiap teras ini pula ada 16 pergerakan dengan 25 variasi.
“Dalam kesemua teknik pergerakan itu, hanya 25 hingga 30 peratus yang melibatkan pergerakan kecergasan. Falsafah utama Zumba ialah senang, seronok dan berkesan. Ini adalah antara satu sebab mengapa kelas Zumba sesuai untuk semua lapisan umur dari anak, emak dan juga nenek.” Katanya.
Tambahnya lagi, selebriti seperti Shakira turut menyertai aktiviti ini sewaktu hamil. Namun dia menasihatkan agar wanita hamil tidak melakukan aktiviti berimpak tinggi, sebaliknya hanya memilih rentak tarian biasa sahaja demi menjaga keselamatan diri dan kandungan.
Jadi sebenarnya mitos Zumba boleh menguruskan badan tidak berapa tepat. Tapi jika anda mahu sertai kelas Zumba tiada salahnya. Daripada duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti kecergasan. Bukan sahaja boleh menggerakkan tubuh dengan aktiviti kecergasan dengan keseronokan malah anda juga dapat bertemu kawan-kawan baru.
Sumber: mStar